--> Skip to main content

Kesenian Islam | Jenis dan Ciri Kesenian Islam

Kesenian Islam | Jenis dan Ciri Kesenian Islam - Seni adalah sebahagian daripada kebudayaan. Konsep seni merujuk kepada bentuk-bentuk indah, halus dan permai. Dari segi istilah, kesenian ialah segala aktiviti yang berkaitan dengan seni yang menyenangkan hati serta perasaan manusia, tidak kira sama ada ia adalah ciptaan Allah s.w.t ataupun dihasilkan melalui fikiran, kemahiran, imaginasi dan perbuatan manusia.

Drs. Sidi Gazalba menerusi buku Pandangan Islam Tentang Kesenian, menjelaskan bahawa seni adalah sebahagian daripada kebudayaan yang dicetuskan oleh sesuatu kelompok manusia kerana setiap kelompok manusia mempunyai fitrah semula jadi yang cinta akan kesenian yang boleh memberi ketenangan kepada hati dan fikiran. Oleh itu manusia dikatakan sebagai makhluk seni yang cintakan sesuatu yang dapat memberi kepuasan hati melalui pancaindera rasa.
Di bawah ini merupakan Ciri-Ciri Kesenian Islam yang harus kita ketahui :

1. Keindahan
Seni timbul hasil daripada fitrah manusia yang sukakan keindahan. Oleh itu, keindahan menjadi ciri utama kesenian dari perspektif Islam. Konsep keindahan bererti rasa yang menggembirakan, menyenangkan, memuaskan dan dihargai tanpa melangkah batas-batas syariat Islamiah.

2. Berpaksikan Akhlak
Apabila memperkatakan konsep seni pada perspektif Islam, kita tidak lari daripada membicarakan soal perkaitan di antara seni dengan akhlak. Seni dan akhlak adalah saling bersangkutan. Islam mahukan setiap seni yang dicipta itu mengandungi nilai-nilai mulia dan akhlak yang membentuk keperibadian positif manusia. Seni yang tidak bermoral harus ditegah kerana kesenian Islam hanya berpaksikan kepada nilai-nilai aqidah, syariat dan akhlak. Oleh itu karya seni Islam haruslah memiliki nilai-nilai murni yang melambangkan akhlak atau berbentuk neutral, bebas daripada nilai-nilai negatif.

3. Bersumberkan wahyu
Kesenian islam juga haruslah bersumberkan wahyu Allah s.w.t dan juga sunnah Rasulullah s.a.w. Ini kerana setiap sesuatu yang bersumberkan kepada wahyu dan sunnah maka ianya akan bersesuaian dengan masa, tempat dan zaman. Ini bermakna, meskipun seni itu turut berkembang mengikut perubahan zaman, namun asas utama penciptaannya mestilah berpandukan garis panduan yang telah disediakan.

4. Kepelbagaian dalam kesatuan
Kesenian Islam dapat memberi sumbangan kepada kesatuan hidup seseorang umat. Kesatuan ini terbentuk dalam pekerjaan seharian, ketika berehat dan ketika berhibur. Dalam al-Quran, setiap perkataan merupakan satu unit yang terpenting bagi mendukung susunan dan makna ayat, keadaan ini sama halnya dengan seseorang individu Islam yang menjadi unit dalam kesatuan umat.

5. Hubungan antara Agama, Etika dan Estetika
Hubungan antara yang indah dengan yang baik bermakna hubungan antara agama, etika dan seni. Fungsi perhiasan adalah untuk keindahan manakala keindahan ialah akar kesenian. Jadi terdapat hubungan yang erat antara seni, etika dan estetika. Dengan lain perkataan, agama melahirkan seni manakala seni pula mestilah mempunyai etika yang mengikut garis panduan agama.
Comment Policy: Silahkan tuliskan komentar Anda yang sesuai dengan topik postingan halaman ini. Komentar yang berisi tautan tidak akan ditampilkan sebelum disetujui.
Buka Komentar
Tutup Komentar